Shahnon.com
Home | About | Blog | Bahasa Melayu | Archives | Academic | Pictures | Store | Links | Contact

. books, movies, musics, social, politics, travel, photography, art, et cetera .

Sunday, January 28, 2007

 

Sultan Mahmud, Hj. Abdul Rahman Limbung dan lain-lain

Artikel Johan Jaafar dalam kolum mingguan beliau di NST menarik minat saya untuk menulis di blog ini. Beliau menulis tentang banjir yang berlaku di Kota Tinggi dan juga cerita sejarah bandar Kota Tinggi itu. Topik makam Sultan Mahmud dan makam Megat Seri Rama, atau lebih dikenali sebagai Panglima Bintan menjadi perbualan dikalangan penduduk Kota Tinggi kerana makam Sultan Mahmud tidak terjejas akibat banjir tetapi makam Panglima Bintan pula tenggelam, kononnya makam Panglima Bintan tenggelam akibat daripada penderhakaan beliau kepada Sultan. Tetapi pada saya ianya akibat daripada faktor geografi setempat, tidak lebih daripada itu.
Saya berminat dengan tulisan Dato' Johan berkenaan pembunuhan Sultan Mahmud Mangkat Dijulang, waris terakhir daripada kesultanan Melayu Melaka. Menurut beliau, cerita bagaimana Sultan Mahmud dibunuh adalah akibat daripada dendam Panglima Bintan kepada Sultan Mahmud yang membunuh isteri beliau, Wan Anum. Wan Anum yang ketika itu sedang sarat mengandung, mengidamkan buah nangka. Kebetulan pula buah tersebut hendak diberikan kepada Sultan. Seorang pegawai istana yang bersimpati telah memotong sebahagian daripada buah tersebut dan berikannya kepada Wan Anum. Sultan Mahmud murka apabila mendapat tahu hal tersebut, kerana Sultan tidak sepatutnya memakan bekas makanan rakyat biasa. Apabila diberitahukan oleh Wan Anum kepada Sultan bahawa buah itu untuk anak dalam kandungannya, Sultan tidak percaya dan meminta agar dibelah perutnya sebagai bukti.
Panglima Bintan berasa sangat terkejut apabila mendapat tahu berita tersebut, lalu bertindak membunuh Sultan Mahmud ketika baginda sedang diarak (dijulang) ke masjid pada hari Jumaat. Maka, Sultan Mahmud mangkat ketika dijulang.
Cerita ini mengingatkan saya kepada ayat Dato' Khalid Ibrahim (kini Bendahari Parti Keadilan Rakyat), dalam wawancara beliau dengan majalah Off The Edge (Dec 2006), apabila beliau menyebut;

"Malays, basically, only support the winner..it's very traditional..if the sultan is killed by his brother and the brother becomes the sultan, the scene of the killing is not relevant, they will support the new sultan"

Zaman itu adalah di mana era Sultan berkuasa mutlak. Segala titah Sultan adalah undang-undang. Segala tingkah laku Sultan tidak boleh dipersoal. Itu adalah norma kehidupan dulu yang harus diterima. Sebab itulah pada zaman dulu sesiapa yang menderhaka tidak mendapat tempat dalam masyarakat. Zaman itu istilah revolusi belum wujud. Malah revolusi besar boleh dikatakan tidak pernah wujud di bumi Nusantara ini. Kalau ada pun, ianya tidak begitu memberi impak yang besar. Tidak ada penentangan secara terang-terangan terhadap raja-raja Melayu kerana masyarakat Melayu secara umumnya masih bersifat feudalistik. Masih menyayangi raja-raja Melayu. Di Brunei, pada dekad 1960-an, cubaan Parti Rakyat pimpinan Azahari untuk menggulingkan kerajaan telah gagal. Sultan Brunei telah mendapat bantuan ketenteraan dari negara-negara Komanwel, seperti Britain dan Australia. Parti-parti Melayu berhaluan kiri juga kurang mendapat tempat di hati rakyat. Laungan perjuangan untuk membentuk sebuah gagasan 'Melayu Raya', yang menggabungkan negara Indonesia dan Malaya juga menemui kegagalan.
Sebab itu saya selalu berpendapat bahawa dalam membuat kajian ilmiah tentang zaman Melayu lama, haruslah dilihat dari perspektif zaman itu sendiri. Kita tidak boleh mengkaji sejarah dulu tetapi mengambil kira faktor semasa dalam membuat pertimbangan. Sebab itu pada saya, tindakan Hang Tuah membunuh Jebat walaupun Tuah sendiri dalam dilema adalah sesuatu yang diterima masyarakat dalam konteks Melaka kurun ke-15, kerana berlaku derhaka kepada raja adalah sesuatu yang paling tidak diingini.
Pada saya mengangkat karya agung 'Hikayat Hang Tuah' yang telah diiktiraf oleh UNESCO sebagai salah satu karya sastera agung dunia yakni setaraf dengan karya Ramayana dan Mahabrata, adalah jauh lebih penting. Walaupun begitu saya masih terbuka untuk membaca kajian-kajian terbaru tentang Hikayat Hang Tuah ini, kerana karya ini adalah manuskrip sastera, bukannya sejarah. Atas sebab itu saya boleh menerima idea-idea baru seperti yang ditulis oleh U-Wei Saari dalam teater beliau, 'Wangi Jadi Saksi' baru-baru ini, yang mana dalam pementasan tersebut U-Wei menunjukkan bagaimana Jebat tidak mati ditangan Tuah, tapi di tangan pembesar Sultan berketurunan Jawa, Patih Kerma Wijaya. . [baca posting blog tentang teater Wangi Jadi Saksi untuk ulasan lanjut]
Satu lagi contoh mudah ialah ketika penentangan Haji Abdul Rahman Limbung di Kuala Berang, Terengganu. Kita tahu daripada buku-buku sejarah bahawa Haji Abdul Rahman Limbung menentang British kerana tidak setuju dengan cukai tanah baru yang dikenakan. Penduduk-penduduk kampung telah mengusahakan tanah sawah mereka sejak berkurun-kurun lamanya, tiba-tiba apabila British datang, mereka sewenang-wenangnya mengenakan cukai.
Tetapi bukan isu itu yang ingin saya ceritakan di sini, tetapi tentang isu mentaliti feudal/bangsawan rakyat. Walaupun telah jelas Sultan Terengganu dan pembesar Melayu bersekongkol atau dalam kata lain diperalatkan oleh penjajah British, tetapi penduduk Kuala Berang tidak menunjukkan penentangan yang jelas kepada Sultan. Mereka tetap bersikap defensive, berlembut, berdiplomasi dan masih menaruh harapan terhadap raja mereka seperti dialog ringkas pada watak Lebai Hasan di dalam novel 'Tangisan Bangsaku' oleh Arifin Ngah di bawah. (sebuah novel sejarah Pemenang Anugerah Sastera Darul Iman IV, yang mengisahkan tentang sejarah penentangan Haji Abdul Rahman Limbung);
Kata Mat Solah, "Tidakkah baginda tahu, rakyat di Telemung ini menangis kerana kezaliman penjajah itu?"
"Boleh jadi baginda tidak tahu" Lebai Hasan seperti mencari alasan. Dia yakin Sultan tidak sekejam itu.
"Sudah jelas Sultan membuat sokongan kepada Inggeris di depan beribu-ribu rakyat. Ya, tak berselindung lagi, baginda tak menyebelahi rakyat," kata Tuk Pitas dengan kesal.
"Tapi, kita tak boleh salahkan sultan. Baginda seperti terpaksa. Tak ada sokongan di belakang baginda. Baginda keseorangan. Pembesar terpengaruh dengan pangkat kemuliaan dan harta benda. Mana ada kuasa nak halang Inggeris?" Lebai Hasan masih membuat alasan. [petikan daripada Tangisan Bangsaku (ms. 267/268)]
British pandai menggunakan helah memperalatkan raja Melayu dan berselindung disebalik kata-kata seperti; ini penderhakaan kepada Sultan. Semua tindakan British telah mendapat persetujuan Sultan. Samalah seperti kisah Mat Kilau yang dituduh menderhaka kepada Sultan.
Akhir kalam, "Raja Adil Raja Disembah, Raja Zalim Raja Disanggah".

Comments: Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]



Links to this post:

Create a Link



<< Home

Archives

November 2004   February 2005   March 2005   April 2005   May 2005   June 2005   July 2005   August 2005   September 2005   October 2005   November 2005   December 2005   January 2006   February 2006   March 2006   April 2006   May 2006   June 2006   July 2006   August 2006   September 2006   October 2006   November 2006   December 2006   January 2007   February 2007   March 2007   April 2007   May 2007   July 2007   November 2007   January 2008  

This page is powered by Blogger. Isn't yours?

Subscribe to Posts [Atom]

 

 

 

 
shahnon.com © 2002 - 2009