Shahnon.com
Home | About | Blog | Bahasa Melayu | Archives | Academic | Pictures | Store | Links | Contact

. books, movies, musics, social, politics, travel, photography, art, et cetera .

Tuesday, March 07, 2006

 

..dalam nada semi-puitis II

..sambungan (oleh Affendi Salleh)
Penceritaan semula (dalam nada semi-puitis) hal-hal yang berkaitan dengan jiwa kacau

Didi dan Gogo (Extended version)
'Seperti pesakit jiwa dalam drama therapy yang tak mahu keluar dari wataknya.
''Siapa yang kau maksudkan? Akukah?''
Seperti jiwa yang telah melangkah keluar dari Jasad-nya dan tak mahu bersatu kembali.
''Ya, betul, akulah yang kau maksudkan itu.''
Mengapa begini? mengapa kau berusaha untuk meruntuhkan kewujudan diri sendiri dan mencantumkannya kembali dalam aturan yang berlainan?''
'Kerana aku tak ingat bagaimana untuk percaya kepada diri sendiri.'
''Mengapa? Mengapa tak percaya?''
Kerana aku terlalu kerap menukar fikiran yang terlalu kerap menukar diriku.
''Jadi diri dan fikiran kau itu adalah dua entiti yang berasingan?''
"Bukan berasingan. Tapi terpecah."
''Terpecah bagaimana?''
"Terpecah seperti Jiwa yang telah melangkah keluar dari Jasad-nya dan..."
''Ya, aku tahu, aku tahu.''
"Kau perlu tahu satu perkara lagi mengenai fikiranku."
''Apa dia? Apa dia?''
Yang ianya bukan berasal dari, oh, diriku sendiri.'

Satelit-satelit di langit mendapat isyarat dari 6.5 bilion bintang dari 6.5 bilion galaksi yang berlainan, sebutir bintang untuk seorang manusia. Isyarat tersebut dipancarkan pada Kesedaran manusia di muka bumi ini dan isyarat tersebut kita gelarkannya: Fikiran. Dan fikiran yang aku terima ini datangnya dari sebutir bintang yang sudah tua, sudah nyanyuk. Tua dan nyanyuk dan terlupa namanya sendiri.
Tiga Kisah Melankoli daripada Tiga Objek Angkasaraya
i. Dunia ini begitu muring, begitu sedih
Ada satu satelit di ruang angkasa yang sudah bosan dengan nasib planet yang dikelilingi kerana tak putus-putus ia menyaksikan penghuni planet itu menukar warna dunianya dari biru kepada merah, dari hijau kepada merah, dan satelit itu mengambil keputusan untuk mengkhianati orbitnya dania mahu hanyut ke ruang angkasaraya yang hitam gelap, dan satelit itu berulang-ulang berbisik kepada dirinya, 'mujur memori dicipta bukan untuk kekal selama-lamanya.'

ii. Dunia ini begitu keliru, begitu kelabu.
Ada sebutir asteroid yang menghempas dirinya di dada lautan Pasifik dan membawa kemusnahan yang melenyapkan separuh penghuni bumi, dan Batu Kecelakaan adalah nama sumpahan yang digelarkan kepadanya, tetapi sebelum ia terhempas dan meledakkan bencana;
asteroid itu sempat menjerit. 'hey manusia! Ruang angkasa ini terlalu luas! Kebarangkalian untuk kita bertembung hampir mustahil! Tetapi mengapa kita ditemukan?! Mengapa aku tiba membawa kelaknatan?! Jawapannya ada pada dirimu sendiri!'

iii. Dunia ini begitu indah, begitu indah.
Ada sebutir bintang yang disayangi bernama matahari, yang setia bertugas dari detik lahirnya hingga saat matinya, tanpa raguragu ia hanya perlu menjadi dirinya sendiri, melimpahkan cahaya dan haba, dan sembilan planet di bawah jelajah cahayanya girang dengan kehidupan, hidup kegirangan, menerusi cahayanya bintang itu berlagu, 'tutuplah dukamu wahai manusia, izinkan aku menari dalam hatimu, usahlah gusar, usahlah gusar.'
oleh Affendi Salleh
Tamat.

Comments: Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]



Links to this post:

Create a Link



<< Home

Archives

November 2004   February 2005   March 2005   April 2005   May 2005   June 2005   July 2005   August 2005   September 2005   October 2005   November 2005   December 2005   January 2006   February 2006   March 2006   April 2006   May 2006   June 2006   July 2006   August 2006   September 2006   October 2006   November 2006   December 2006   January 2007   February 2007   March 2007   April 2007   May 2007   July 2007   November 2007   January 2008  

This page is powered by Blogger. Isn't yours?

Subscribe to Posts [Atom]

 

 

 

 
shahnon.com © 2002 - 2009