Sunday, July 24, 2005

Uda dan Dara_

Uda dan dara
Bersumpah keramat cinta
Wajah seri terukir
Berbiduk hilir kasih

Uda dan dara
Bersanding tak berpelamin
Tempat yang berwali
Di laut malam saksi
Daraku nantikan abang
Emas ringgit membakar kita
Uda hamba tunggu angin lalu

Uda dan dara
Bersanding di pusara
Nisan yang bersabda
Keramat kisah cinta
Uda dan Dara nyanyian P. Ramlee dan Saloma
Aaah, gembiranya dapat tengok teater muzikal Uda & Dara arahan Dato' Rahim Razali kat Filharmonik KLCC petang tadi dengan sharain & dua orang kawan dia. Akhirnya dapat jugak masuk Dewan Filharmonik tu. Seriously, dalam gambar, dewan tu nampak luas giler banding dengan realiti. Hahah. Saya berminat nak ulas beberapa perkara tentang teater ini. Apa yang saya paling suka dalam persembahan tu ialah gabungan kombinasi tarian-tarian minang, inang, dikir, boria dan ada lagi kot lain-lain dan juga permainan seni tari silat yang menarik.
Jalan ceritanya sedikit berlainan daripada apa yang pernah saya baca, tapi tak kisah sangatlah pasal tu. Lagipun persembahan ini lebih berat kepada aspek muzikal. Janji kesuluruhan persembahan sangat menghiburkan! Syabas kepada seluruh pelakon dan krew persembahan. Bercakap tentang Uda dan Dara, teringat saya pernah tulis tentang topik ni dalam blog tahun lepas. Boleh check archives saya bertarikh, 6 September 2004. di bawah tajuk, 'Cerita Cinta'. Dalam blog entry tu, saya ada sentuh tentang isu;

"..Cerita kedua pula. Uda dan Dara karya agung Allahyarham Sasterawan Negara Dato' Usman Awang. Pasti ramai yang tahu atau paling tidak pun pernah dengar kisah cinta Uda dan Dara yang dikatakan sehebat karya Romeo And Juliet. Kisah cinta dua darjat Uda dan Dara ibarat si Uda pipit, si Dara enggang. Secara ringkasnya, rombongan merisik keluarga si Uda telah ditolak oleh ibu si Dara.

Kata ibu Dara, masakan pipit dan enggang bisa terbang bersama. Si Uda tidak putus asa, beliau berhajat untuk merantau ke negeri orang mencari rezeki dengan tujuan mendapatkan Dara. Kata Uda kepada ibunya, "Kalau ikan emas itu ringgit umpannya, dengan ringgit jugalah kita mengumpaninya.."

Dipendekkan lagi cerita, Uda kemudiannya jatuh sakit dan lumpuh. Kata Uda, "Berat kupikul sakit kutanggung, ibu, tetapi Dara hanyalah satu tak dapat ditukar ganti, tak dapat dijual beli. Jika begini penanggunganku kerana Dara, maka relalah hamba menerimanya." Akhirnya Uda pun meninggal dunia tak lama selepas itu.

Fast forward ke cerita Dara pula. Hari perkahwinan Dara dengan seorang jejaka kaya raya semakin hampir tetapi Dara sedikit pun tak inginkan dia. Dara semakin susut badannya. Lama kelamaan, dia pun meninggal dunia. Jenazah Dara dikuburkan bersebelahan Uda atas permintaannya sendiri." click untuk artikel penuh (6 Sept. 2004).

Bercakap tentang Uda dan Dara, tak boleh kalau tak cakap tentang Allahyarham Sasterawan Negara Dato' Usman Awang. Kalau sebut Usman Awang aka Tongkat Warrant pasti teringatkan puisi-puisi agung beliau. Antara yang paling saya kagum ialah, 'Melayu' dan 'Kekasih'. Belum pernah saya jumpa puisi cinta yang mempunyai bait-bait kata yang dapat menandingi 'Kekasih'. Pada saya karya sastera beliau terlalu tinggi nilainya.

Kalau Albert Einstein seorang genius dalam bidang sains, saya anggap Allahyarham Dato' Usman Awang seorang genius dalam kesusasteraan Melayu. Dulu dah pernah post puisi 'Kekasih' kat blog ni, tapi takpelah, nak letak lagi sekali.

Akan kupintal buih-buih
menjadi tali mengikatmu

Akan kuanyam gelombang-gelombang
menjadi hamparan ranjang tidurmu

Akan kutenun awan-gemawan
menjadi selendang menudungi rambutmu

Akan kujahit bayu gunung
menjadi baju pakaian malam mu

Akan kupetik bintang timur
menjadi krongsang menyinar dadamu

Akan kujolok bulan gerhana
menjadi lampu menyuluh rindu.

Akan kurebahkan matari
menjadi laut malammu
menghirup sakar madumu

Kekasih, hitunglah mimpi
yang membunuh realiti
dengan syurga ilusi.

Allahyarham Dato’ Usman Awang (1971).

No comments: